SELAYANG PANDANG

GHAZALI BIN AHMAD

Bismillahhirrahmannirrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinan-Nya, kita diberi kesempatan lagi untuk memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2019. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat tahun baru 2019 kepada semua guru SMK Syed Alwi.  Harapan saya agar tahun ini sinar kegemilangan dan kejayaan akan terus menerangi kita yang memikul amanah besar untuk meningkatkan akses pendidikan berkualiti di sekolah ini. Sesungguhnya kejayaan negara sehingga kini sebahagian besarnya adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan yang bertungkus lumus menyediakan modal insan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam semua sektor.

                Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga pendidik sekolah ini atas usaha gigih dan komitmen yang telah dicurahkan kepada usaha untuk mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang di sepanjang tahun 2018. Keringat yang dicurah tanpa mengenal erti penat lelah semata-mata untuk memberikan didikan terbaik kepada pelajar kerana tanpa usaha dan pengorbanan guru tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang.

                Saya juga berharap agar warga sekolah meneruskan kesinambungan membina legasi kegemilangan sekolah secara berterusan. Justeru itu, kita perlu memperbaharui tekad dan menyuntik semangat baru bagi melonjakkan kecemerlangan pelajar. Untuk itu saya menyeru kepada semua warga sekolah untuk mendokong hasrat “Bersama menyumbang ke arah kecemerlangan” bagi memastikan keberhasilan murid dapat direalisasikan. Kita harus berdiri teguh dalam usaha memartabatkan profesion keguruan kerana setiap pendidik tidak dapat lari daripada pelbagai kemelut dan cabaran dalam dunia pendidikan.

                Akhir kalam, marilah kita sama-sama berganding bahu dalam menjayakan matlamat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada pelajar. Pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di laluan, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian sekolah. Mudah-mudahan segala kejayaan yang telah kita capai pada masa ini akan menjadi inspirasi untuk kita pada masa akan datang. Semoga usaha kita akan sentiasa diberkati Allah S.W.T dan segala perancangan akan berjalan lancar.

Sekian,terima kasih.

’BERKHIDMAT UNTUK NEGARA’N

…………………………………………….

(GHAZALI BIN AHMAD)

Pengetua

Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi,

01000 Kangar, Perlis.