Isnin, 22.2.2021 semua calon SPM 2020 SMK Syed Alwi bersedia untuk menduduki Peperiksaan SPM 2020 .

Seramai 401,105 pelajar seluruh negara akan melangkah ke ‘medan perang pen dan kertas’ iaitu peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) 2020 yang bermula pada Isnin dalam suasana pembudayaan norma baharu.

Kelainan bagi calon SPM 2020 ialah mereka bukan sahaja hadir ke dewan peperiksaan dengan berbekalkan pen dan pengetahuan, malah kali ini mereka perlu membawa ‘bekalan tambahan’ iaitu pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk mencegah penularan Covid-19.

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan itu, persiapan akhir di 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Selain calon SPM, peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 juga berlangsung serentak pada Isnin.

Lembaga Peperiksaan sebelum ini memaklumkan bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian SPM 2020, seramai 48,014 petugas peperiksaan dilantik untuk bertugas di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.